Berminat untuk mengiklankan lebih pantas??
Monsoon Cup 2010 Kembali lagi!!!
10 juta pelancong di Terengganu
21 Nov. – Kerajaan negeri yakin Terengganu akan mengalami limpahan pelancong sehingga mencecah 10 juta orang setahun apabila Tasik Kenyir mula berfungsi sebagai zon bebas cukai menjelang akhir tahun 2012.
Tasik buatan manusia terbesar di Asia yang dijadikan zon berkenaan bakal menjadi pemangkin cukup kuat bagi melonjakkan industri pelancongan dan ekonomi negeri malah mengurangkan pergantungan kepada hasil petroleum.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meminta rakyat khususnya di sekitar daerah ini bersiap sedia untuk turut serta dalam pelbagai kegiatan bagi menjana ekonomi dan tidak sekadar menjadi pemerhati.
Katanya, keutamaan akan tetap diberikan kepada rakyat negeri ini untuk turut serta, namun melalui peluang yang terbuka kelak, mereka perlulah meneroka secara kreatif penglibatan dalam industri pelancongan.
Beliau juga menasihatkan mereka yang tinggal berhampiran tidak ghairah menjual tanah-tanah mereka, sebaliknya memanfaatkan sebagai asas perniagaan termasuk membangunkan premis penginapan.
“Kita menyasarkan ia akan mula beroperasi pada Ogos 2012 dan berharap pelbagai jabatan dan agensi berkaitan mengurangkan kerenah birokrasi bagi menjayakannya,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas Majlis Pertemuan Dengan Pemimpin Masyarakat Setempat dan Taklimat Mengenai Tasik Kenyir sebagai Zon Bebas Cukai di Dewan Majlis Daerah, di sini hari ini.
selain menjadi destinasi membeli belah utama, ia akan menjadi pusat rekreasi keluarga dengan pelbagai tarikan seperti taman tema air, taman bunga, herba dan taman haiwan di samping syurga bagi pemancing antarabangsa.Tasik Kenyir seluas 65,417 hektar dan mempunyai 340 pulau dengan pelbagai daya tarikan tersendiri mendapat kelulusan Kerajaan Pusat pada September lalu untuk dijadikan zon berkenaan.
Destinasi Lensa Foto Terbaik
Terbukti Terengganu mempunyai lokasi penggambaran foto lensa yang terbaik. Itulah unggapan yang boleh tafsirkan melalui pengalaman penulis sepanjang mengendalikan portal rasmi blog pelancongan Terengganu yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu. Sebagai mesej yang jelas, penulis ingin mengajak seluruh pencinta warisan alam untuk turun beramai-ramai bersama-sama dalam merakamkan foto lensa yang terbaik ini. Selain menghayati permandangan yang begitu indah dan mengasyikkan, ianya dapat menenangkan fikiran buat seketika.
Dekorasi Semulajadi
Kali ini penulis ingin mengajak pembaca blog untuk melihat secara dekat dekorasi semulajadi berlatarkan permandangan bot di negeri Terengganu. Permandangan yang begitu indah mencerminkan keindahan seperti perkampungan nelayan juga terserlah dalam lensa foto yang dipaparkan. Siapa sangka, Terengganu yang dahulunya penuh dengan warisan semulajadi kini berwajah menarik dengan permandangan yang indah di mana-mana sahaja di daerahnya. Kelibat bot menyerlahkan lagi permandangan yang begitu mengasyikkan serta menaikkan semangat alam semulajadinya.
Dengan ibu negerinya yang indah dikenali sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air, membuktikan produk pembangunan pelancongan negeri Terengganu tidak memfokuskan pada sesuatu aspek sahaja. Jelas sekali dengan anugerah alam semulajadinya, menjadikan Terengganu semakin unggul dan pelopor dalam aspek produk pelancongan di Malaysia khususnya dan luar negara amnya.
Indah Permai
Buat julung-julungnya, permandangan indah matahari terbit dipaparkan berdasarkan foto-foto yang dirakamkan sendiri oleh penulis. Baru-baru ini penulis sempat meluangkan masa untuk merakamkan foto-foto yang memberikan imej yang jelas kepada semua pelancong atau pun bakal pengunjung ke negeri Terengganu Darul Iman. Indah permai permandangan pada waktu pagi berlatarbelakangkan pantai yang tenang. Hembusan bayu yang dingin sedikit sebanyak memberikan kesegaran kepada penulis semasa merakamkan lensa foto.
Lensa@Sekitar Bandaraya Kuala Terengganu
Bandaraya Kuala Terengganu sememangnya suatu pengiktifan buat negeri Terengganu atas pelbagai usaha yang telah dilakukan untuk memastikan tahap kualiti negeri terus melonjak ke tahap yang paling maksimum. Keindahan Terengganu bukan sahaja terletak pada Alam semulajadinya, bahkan suasana pemandangan sekitar Bandaraya Kuala Terengganu juga dapat menjadi tarikan buat pengunjung yang datang.
Istana Maziah@Kuala Terengganu
Dari foto lensa perkampungan nelayan, kali ini jom kita mengenali pula Istana Maziah. Tersegam indah di tengah Bandaraya Kuala Terengganu, Istana Maziah adalah lambang kemegahan institusi kesultanan Terengganu. Istana ini terletak berhampiran dengan Bukit Puteri iaitu berada dalam kira-kira 220 meter dengan gigi air sungai Kuala Terengganu. Di istana inilah upacara rasmi negeri diadakan seperti istiadat pertabalan dan kemahkotaan Sultan Terengganu, berkhatan, bertindik, perkahwinan dan sambutan tetamu utama negeri.
Panaroma Senja@ Seberang Takir
Jom kita kenali Kampung Seberang Takir yang terletak dalam Daerah Kuala Terengganu. Jika dilihat dari segi kedudukan dan penduduknya, Seberang Takir adalah merupakan sebuah perkampungan nelayan, yang terletak di muara Sungai Terengganu dan sepanjang pesisir Laut China Selatan. Sejarah asalnya pada dahulu, Seberang Takir merupakan tanah buangan untuk para pesalah pada zaman kesultanan Terengganu yang terdahulu. Nama "Seberang" diperolehi kerana menyeberangi sungai jika berada di sebelah ShahBandar (Kuala Terengganu), manakala "Takir" wujud adalah dipercayai tempat ini dijadikan tempat untuk memotong (takir) sama ada tangan mahupun kaki mengikut kesalahan yang dilakukan. Sekarang kampung ini berkembang pesat dengan kemajuan yang menyeluruh. Tapi semuanya sudah berubah sekarang atas faktor pembangunan dari pelbagai aspek. Keindahan seberang Takir adalah salah satu faktor ianya dikenali serta kerana ianya mempamerkan keindahan perkampungan nelayan.
Memori pengalaman@ Kuala Terengganu
Pelbagai memori coretan terindah boleh diungkapkan apabila melihat sesuatu perkara yang berlaku. Melihatkan gelagat seekor anak kera dikawasan perkampungan Batu Rakit, Kuala Terengganu telah menarik perhatian penulis untuk dikongsikan bersama-sama. Mungkin ini dianggap perkara biasa, tetapi bayangkan apabila anda sendiri berada pada situasi tersebut. Mungkin anda boleh tergelak bersama dengan anak-anak apabila melihat telatah kera tersebut. Dengan gaya yang bersahaja, ia memetik kelapa dengan pantas apabila menerima arahan daripada pemeliharanya. Pelbagai ragam dan suasana perkampungan yang begitu tenang tanpa kebisingan seperti di kota dapat menenangkan fikiran seketika dengan pelbagai aksi. Mungkin suasana perkampungan beginilah yang ingin penulis ketengahkan untuk dirasai bersama-sama warga Malaysia..
Noor Arfa Batik Terengganu
Dengan sedikit pengalaman dan dikuatkan dengan minatnya yang mendalam di bidang perniagaan, Wan Mohamed Ariffin,meletak jawatan kerana untuk menceburi perniagaan batik bertapak di Kuala Terengganu, negeri yang mengasaskan industri batik negara, untuk membina Noor Arfa Batik Sdn Bhd.
Noor Arfa Batik itu kini mempunyai sebuah kilang batik di Kawasan Perindustrian Cenderiang, Terengganu dengan 200 orang pekerja, mengeluarkan 150 produk batik.Noor Arfa Batik kini mempunyai enam cawangan di seluruh negara iaitu dua di Kuala Lumpur, dua di Terengganu, masing-masing satu di Selangor dan Kedah.
Keunikan batik Noor Arfa ialah dari segi corak, rekaan dan pembuatannya terutama batik lukisan tangan yang menggunakan canting.
Wan Mohamed Ariffin bangga keyakinannya terhadap perusahaan batik ternyata tidak silap sehingga kekal berjaya hingga kini dan ditambah pula dengan keluaran batik kembali popular dan diiktiraf negara.
Lapangan Terbang Canggih Di PANTAI TIMUR
Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud, Kuala Terengganu adalah merupakan sebuah lapangan terbang yang menguruskan penerbangan dari dan ke Kuala Terengganu,sebuah bandar raya di negeri Terengganu,Malaysia.Lapangan terbang ini terletak 15km dari pusat bandar. Dalam tahun 2005, lapangan terbang ini menguruskan 419,475 penumpang dengan 4,623 pergerakan kapal terbang.Pada bulan Januari 2008, Kerajaan Malaysia telah meluluskan RM200 juta bagi menaik taraf lapangan terbang ini bagi dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa yang serba moden dan canggih di Pantai Timur. Hal ini termasuklah memanjangkan landasan terbang dan menaik taraf terminal lapangan terbang ini.
Lapangan Terbang Sultan Mahmud akan dijadikan sebuah lapangan terbang antarabangsa setelah kerja naik taraf diselesaikan. Ia mungkin akan memulakan penerbangan antarabangsa ke Singapura, Kunming, Hong Kong dan lain-lain. Malaysia Airlines telah bersetuju dengan Tabung Haji bahawa ia akan juga membawa penumpang ke Tanah Suci Mekah melalui Jeddah, Madinah.Pada 11Oktober,sebuah Boeing 747-400 mendarat disini pada jam 1456 dari Kuala Lumpur di mana pesawat tersebut adalah Boeing 747 pertama mendarat disini. Sebelum ia mendarat, ia terbang di kawasan berdekatan dari LTSM. Pesawat tersebut bersedia menuju ke Jeddah dan Medina pada Musim Haji ini.
Pendidikan@UniSZA
Kewujudan UniSZA di Terengganu telah merancakkan lagi sektor pendidikan di negara ini amnya dan Negeri Terengganu khususnya. UniSZA atau lebih dikenali sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin adalah salah satu institusi yang telah melahirkan ramai graduan pada awal penubuhan KUSZA (Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin).Dahulunya ianya di kenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia (UDM). Baru-baru ini telah diadakan Majlis Konvokensyen Kali-2 Bertempat Di UnisZA Kampus Gong Badak.
Diharapkan dengan penjenamaan semula UniSZA ini dapat meningkatkan lagi tahap pendidikan di Universiti khususnya di Terengganu.
Lokasinya yang begitu strategik kerana bersebelahan dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).Penyertaan daripada semua pelajar-pelajar ke UniSZA amatlah terbuka luas dalam membuka tirai kecemerlangan pada masa hadapan.
Sultan's Cup Terengganu Endurance
Perlumbaan kuda lasak Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge 2010 akan membuka tirai perlawanan pada 5 - 7 November 2010 bertempat di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong Setiu, Terengganu. Acara yang berprestij ini julung kali akan mempamerkan kehebatan perlumbaan daripada pelbagai penyertaan. Kejohanan ini adalah anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan Kementerian Perlancongan. Sebarang pertanyaan bolehlah di ajukan melalui talian :
Phone | : | 09-626 2946 / 4946 / 631 8840 |
Fax | : | 09-626 1946 / 631 8841 |
Masjid Terapung!
Keunikan masjid yang terletak di Kuala Ibai,Terengganu telah menarik hati penulis untuk memaparkan dalam ruangan blog pelancongan Terengganu. Apa tidaknya, penulis terpegun seketika melihat keunikan masjid yang di lebih kenali sebagai masjid ''terapung'' ini semakin memukau hati dengan rekabentuk dan keindahan lanskapnya setelah di selenggarakan oleh kerajaan. Ini seharusnya dipuji oleh masyarakat amnya kerana ia adalah salah satu imej kepimpinan kerajaan itu sendiri.
Baru-baru ini penulis sempat merakamkan foto-foto keindahan dengan lensa kamera bagi permandangan masjid ini. Diharapkan dengan paparan kali ini dapat menterjemahkan hasrat penulis bagi menggalakkan rakyat malaysia meninjau sendiri negeri bertuah ini, Terengganu Darul Iman secara dekat dalam konteks mempromosikan Terengganu dalam sektor Pelancongan.
Balai Cerap KUSZA
Balai Cerap KUSZA yang terletak di Mukim Merang Setiu, Terengganu adalah merupakan salah satu lokasi yang patut dilawati oleh semua. Keunikannya adalah kerana lokasi berkedudukan yang amat strategik, merupakan salah faktor yang memainkan peranan yang besar dalam fokus terhadap pembangunan ilmu falak di tanah air. Balai Cerap ini mampu menerajui bidang Falak dengan penekanan praktikal dengan begitu berkesan. Selain itu, Balai Cerap KUSZA ini juga menjadi tumpuan ramai semasa proses melihat anak bulan khususnya pada awal dan akhir ramadhan serta lain-lain program ayng berkaitan. Balai Cerap KUSZA, Terengganu merupakan antara tempat-tempat terulung di Malaysia di dalam pengkajian ilmu Falak di negara ini. Jom kita lawati untuk mengetahui unikannya.
Taman Tamadun Islam,Terengganu
Terletak di muara sungai Terengganu di Pulau Wan Man, Taman Perlancongan bertaraf Antaranbangsa iaitu dikenali sebagai Taman Tamadun Islam. Taman ini telah menempatkan sebuah taman tema yang memperlihatkan kehebatan senibina islam dengan pembinaan 21 buah replika monumen terkenal seluruh dunia dan terdiri daripada pusat pembelajaran,pusat kebudayaan konvensyen dan Masjid Kristal. Panaroma permandangan masjid Kristal yang begitu cantik dan indah ini telah memikat ribuan pelancong dengan hembusan angin yang selembut bayu dari muara sungau Terengganu. Bersama-samalah kita berkunjung ke salah satu seni warisan di Terengganu ini.Jom!!
Keropok Lekor Terengganu
Informasi ini adalah untuk mengetengahkan lokasi yang biasa dikunjungi oleh peminat-peminat keropok lekor terengganu. Tidak sahlah kalau tidak menikmati keropok lekor terengganu jika berkunjung ke Negeri Terengganu Darul Iman. Biasanya lokasi-lokasi gerai pembuat keropok lekor boleh dikunjungi di sekitar Kampung Losong, Kuala Terengganu yang boleh dikategorikan sebagai kawasan khas yang telah tentukan. Selain itu juga, tidak ketinggalan di kawasan mengabang lekor, Kuala Terengganu serta sekitarnya.
Bukan itu sahaja, sekarang boleh dikatakan dimana-mana sahaja dikawasan di negeri ini terdapat kawasan membuat keropok bersesuaian dengan peredaran semasa kerana ramai penggemar keropok semakin hari semakin ramai dari segi bilangannya. Justeru tidak hairanlah boleh dikatakan keropok lekor terengganu mempunyai nilai citarasanya yang tersendiri kerana keaslian ramuan serta kesegaran ikan untuk membuat keropok.